Wednesday, September 15, 2010

Kes Pembunuhan Datuk Sosilawati



Salam semua,

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

sosilawati.jpg

Kes pembunuhan ni adalah kes yang paling panas sedang diperkatakan pada Aidilfitri tahun ini. Sedang orang lain bergembira menyambut kedatangan Syawal, lain pula ceritanya pada keluarga Allahyarhamah Datuk Sosilawati dan 3 orang rakan beliau yang dibunuh kejam.. semoga Allah S.W.T. merahmati roh-roh mereka bersama-sama orang yang beriman...

Sedih saya membaca berita di dalam akhbar mengenai si isteri yang tidak tahu bagaimana hendak memberitahu anak- anak mereka yang kecil bahawa ayah mereka sudah tiada..



anak+noorhisham+pegawai+bank+cimb.jpg


Risau juga saya kepada diri sendiri dan juga sahabat- sahabat di luar sana, yang sering keluar berjumpa dengan pelanggan- pelanggan yang baru, terutamanya di tempat- tempat yang baru (site visit).

Berdasarkan kes pembunuhan kejam yang telah berlaku ini, berikut adalah kesimpulan yang saya fikirkan. Di bawah ini adalah sedikit panduan yang sering saya lakukan dan sekiranya anda adalah seorang ahli perniagaan, atau sering keluar berjumpa pelanggan, cubalah lakukan seperti yang di bawah:-

1.    Tolonglah beritahu ahli keluarga, isteri atau suami atau anak- anak, atau sahabat karib anda ke mana anda pergi, lebih- lebih lagi ke tempat yang asing bagi anda. Perkara- perkara berikut amat penting untuk diberitahu:-

a.   jika anda menaiki kereta orang lain, beritahu no. kereta yang anda naiki;

b.  maklumat hotel yang anda duduk (nama hotel, nombor bilik, alamat hotel yang lengkap);

c.  sila maklumkan dengan siapa anda akan bertemu (minta nama dan alamat serta nombor telefon orang yang akan anda jumpa dan berikan kepada ahli keluarga anda);

d.   sila maklumkan nama orang yang menemani anda, tujuan apa anda berjumpa;

e.   di setiap perubahan tempat, sila maklumkan kepada pasangan anda, cukup sekadar sms;

f.  elakkan berjumpa di kawasan yang terpencil.

2.   Perkara yang harus dielakkan apabila berjumpa orang yang baru kita kenal:

a.   Jangan bercerita tentang semua perniagaan anda, oleh kerana mungkin anda ingin menunjuk hebat, maka terkeluar cerita tentang projek anda di sana-sini, ini akan membuka lebih banyak ancaman kepada anda sendiri;

b.  Di dalam dunia perniagaan, adalah tidak digalakkan untuk anda menunjukkan tempat kediaman anda kepada orang- orang yang berurusan dengan anda;

c.  Jangan menunjuk-nunjuk dan sombong tentang kehebatan anda.


3.   Perkara yang harus anda lakukan:-

a.   Jadilah seorang ahli perniagaan yang professional yang tidak mencampurkan urusan perniagaan dengan urusan peribadi;

b.  Haruslah menjaga kata- kata yang keluar dari mulut anda supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Ingat, rambut sama hitam, hati lain- lain;

c.  Haruslah sentiasa bertolak ansur, merendah diri dan tidak sombong. Ingatlah bahawa Allah itu Maha Kaya lagi Maha Penyayang;

d.   Sentiasalah berdoa pada Allah agar dilindungi dari segala bahaya dan malapetaka, serta dilindungi Allah dari berjumpa dan berurusan dengan orang- orang yang fasik dan berniat jahat;

e.   Harus bersikap jujur di dalam segala hal iaitu kata- kata, perbuatan dan hal kewangan;

f.  Harus sentiasa bersyukur dan bersedekah supaya Allah menambahkan lagi rezeki kita dengan barakah;

g.   Haruslah bersikap pemaaf supaya orang lain senang memaafkan kita lebih- lebih lagi atas kesalahan yang kita tidak sedar.

h.  Jangan nyalakan api dendam dan perasaan benci dengan orang- orang di sekeliling anda.


Semoga saya dan anda semua dilindungi Allah sentiasa dari orang- orang yang zalim dan fasik.. Amin..


Kes Sosilawati: Ladang ternakan ‘mewah’, polis buka sembilan kes lama

September 14, 2010

Anggota polis mencari bahan bukti di dalam sungai berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi semalam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 14 Sept — Polis dilaporkan sedang menyiasat dan membuka semula fail sembilan kes lama — yang mirip modus operandi pembunuhan jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pengiring beliau yang disahkan mati kelmarin.
Siasatan awal polis menunjukkan kesemua mereka dibunuh dan kesan mayat dihilangkan menggunakan cara yang sama.
Akhbar The Star hari ini melaporkan, kesemua yang dilaporkan hilang setakat dikaitkan dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan berhubung kes Sosilawati.
Kebanyakan kes lama membabitkan peguam.
Kedua-dua adik-beradik berkenaan dikatakan suspek utama kes empat mangsa terbaru ini yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir meninggalkan Kuala Lumpur 30 Ogos lalu.
Kelmarin, polis berkata pihaknya sedang menyiasat empat kes lama yang dilaporkan tahun lalu termasuk membabitkan seorang warganegara India ekoran pengakuan daripada suspek yang ditahan.
Akhbar The Star memetik Ketua Polis Pulau Pinang Timbalan Pesuruhjaya Datuk Wira Ayub Yaakob melaporkan, pihaknya akan membuka kes pembunuhan melibatkan seorang peguam R Thinakaran yang mati dibunuh pada 27 Julai 2009, peguam sivil kanan Datuk S.P. Annamalai pada 6 November 2007, peguam Chew Sien Chee, 39, pada 2 Mac 2000, peguam jenayah S. Pathmanathan, 29 pada 19 Oktober 1997 dan Triptipal Singh, 60 pada 15 Oktober 1992.
Akhbar itu juga berkata polis sedang menyiasat laporan orang hilang sepanjang tempoh 36 bulan lalu tetapi kebanyakan aduan dibuat tidak cukup bukti yang kukuh.
Laporan New Straits Times pula melaporkan kesemua empat mangsa terbaru mati selepas mereka dikelar oleh pembunuh mereka.
Sosilawati dikatakan menemui peguam-peguam terbabit untuk mendapatkan semula wang pendahuluan berhubung urusan jual beli sebidang tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang telah gagal.
Sosilawati dijanjikan wang yang mencecah jutaan ringgit itu akan dipulangkan tetapi perlu menemuinya di firma mereka di Banting.
Bagaimanapun peguam adik-beradik berkenaan dikatakan terkejut apabila mendapati Sosilawati datang bersama pegawai bank dan peguam sedangkan mereka menjangkakan Sosilawati hanya akan datang bersama pemandunya.
Mereka sepatutnya mengadakan pertemuan di firma peguam tetapi disebabkan pejabat tutup mereka bertemu di ladang ternakan yang terdiri daripada kemudahan mewah dan canggih.
Kesemua empat mereka dikatakan dibunuh pada hari yang sama.
Laporan sebelum ini menyebut mereka dipukul sampai mati dan kemudian dibakar.
Sementara itu, Berita Harian menyebut, senjata berbentuk cangkuk diguna untuk membunuh Sosilawati sebelum dibakar.
Akhbar itu melaporkan perkara tersebut didedahkan oleh seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.
Akhbar yang sama juga melaporkan bahawa 'ladang maut' itu yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dipercayai dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mewah.
Pusat penternakan itu juga mempunyai chalet dan rumah kelab yang dipercayai lengkap dengan bar dan sistem hiburan canggih termasuk bilik karaoke.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.
Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.
Selain Sosilawati, pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Mengenai motif kejadian tragis itu, Bakri berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.
Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama  setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.
Malah menurut Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu.



No comments:

Post a Comment

!-- nuffnang -->