Thursday, September 16, 2010

MENJAGA KESUCIAN KALIMAH ALLAH


Jagalah Kalimah Allah
Oleh: Rizal Hakim

Salam semua.. terasa rajin sedikit nak update blog ni.. selepas penat buat kertas kerja, inilah cara saya melepaskan bebanan fikiran di dalam kepala..

Hari ini hari ke dua saya beraya di Penang. Semalam semasa sepanjang di dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Penang, saya dan isteri mendengar beberapa CD ceramah Al Hafiz Ustaz Kazim. Saya dan isteri memang meminati Al Hafiz Ustaz ni kerana ceramah beliau nampaknya pukul rata, tanpa mengira fahaman politik, semuanya kerana Allah S.W.T.

Dalam beberapa banyak CD ceramah itu, antara yang paling menarik perhatian saya dan masih bermain- main di kepala ini ialah mengenai menjaga kalimah Allah. Walaupun saya ini bukanlah seorang yang tahfiz lagi dalam ilmu Allah, tetapi saya ingin menyentuh sedikit betapa risau dan gusarnya perasaan saya ketika ini, iaitu ketika saya menulis blog ini.

Sebagaimana yang kita semua maklum, isu penggunaan nama Allah ini sudah beberapa bulan yang lepas dibangkitkan, di mana orang- orang Kristian di Sabah & Sarawak menuntut hak mereka menggunakan nama Allah di dalam khutbah mereka, malah penulisan dan kitab mereka, mengatakan bahawa Allah itu bermaksud nama yang am untuk Tuhan, dan bukan spesifik untuk orang Islam sahaja. Menyesalnya saya pada awalan dulu tidak mengambil berat akan hal ini, tetapi sekarang saya sudah tahu betapa pentingnya menjaga kalimah Allah itu, maka saya ingin menyeru sahabat- sahabat sekalian supaya mengambil pendekatan yang sama dan tidak mengambil ringan akan hal ini.

Mengapa Penting Menjaga Kalimah Allah?

Sesetengah pihak termasuk beberapa ahli bijak agama di Negara kita yang setuju bahawa kalimah Allah boleh juga digunapakai oleh agama lain dengan nas- nas yang agak logic dan boleh diterima akal. Tetapi bagi saya, apa jua alasan yang diberikan, saya tetap berpendirian bahawa kalimah Allah itu hanyalah untuk orang Islam.

Mengapa? Seperti Al Hafiz membuat perbandingan yang mudah, anda jawablah soalan- soalan di bawah:-

1.     Sekiranya ada orang Kristian yang ingin meminjam rumah Allah iaitu masjid untuk mengadakan ceramah mereka, adakah kita akan bagi? Bagaimana dengan mimbar juga mereka ingin pinjam untuk pastor mereka berkhutbah, adakah kita akan izinkan?

Sekiranya ada orang Hindu ingin meminjam kain sejadah di masjid untuk dibuat tikar di kuil mereka, adakah kita akan bagi? Mereka kata akan cuci dan pulangkan semula setelah dipakai..

Jawapan saya sudah tentu tidak. Bagaimana dengan anda? Sekiranya perkara yang di atas pun kita sebagai orang Islam tidak izinkan, bagaimana pula kita boleh izinkan kalimah agung yakni Allah diberi pinjam kepada agama yang lain?

Jangan jadi macam Indonesia yang buminya umpama hilang barakah dari Allah. Ditimpa malapetaka Tsunami, Gempa Bumi, Gunung Berapi, malah letupan- letupan bom di sana-sini, kemiskinan berbondong- bondong, orang mereka berlumba- lumba mencari rezeki di Negara lain kerana di Indonesia itu sendiri kekurangan rezeki dan barakahnya dari Allah.

Walaupun Indonesia itu Negara Islam, tetapi mereka membenarkan kalimah Allah digunapakai oleh agama lain. Malah ada yang berkahwin berlainan agama tanpa perlu memeluk Islam. Anak- anak diberi kebebasan memilih agama mereka. Kerana apa? Mereka bilang “Kerana kita semua tidak kira Islam, kristian, hindu atau Buddha, Tuhan kita kan satu dong.. Allah.. bikin apa ribut- ribut?” Astagfirullah.. inilah akibatnya jika tidak memelihara kalimah Allah, maka bala akan menimpa tidak mengira siapa.. Inginkah kita menjadi sebegini? Minta maaf kepada teman- teman saya di Indonesia yang membaca penulisan saya ini, tidak saya berniat menghina Negara kamu tetapi ini adalah kenyataan yang benar..

Kesimpulan saya, peliharalah Kalimah Allah, sesungguhnya di dalam syahadah kita iaitu “Aku Naik Saksi Bahawa Tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah”.. sudah cukup membuktikan bahawa Allah itu adalah nama Tuhan bagi kita semua orang Islam..

Wallahualam..
Artikel yang di bawah ini menguatkan lagi apa yang saya dengar dari CD ceramah Al Hafiz Ustaz Kazim:

Isu Nama Allah: Persoalan Aqidah Bukan Perebutan Nama
Oleh: Khalif Muammar [Penulis adalah Felo Penyelidik ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu), UKM.]

Isu Herald Tribune telah mengundang reaksi pelbagai pihak sejak awal tahun ini. Setelah Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk melarang penggunaan nama Allah oleh surat khabar tersebut, Dewan Ulama Pas (Harakah, 1 Januari 2008) menyatakan Islam tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimat Allah bagi Tuhan mereka. Sebagai reaksi saya juga telah membahas isu ini dalam artikel yang diterbitkan dalam laman web khairaummah. com pada 20 Januari 2008 dengan harapan ia dapat membantu umat Islam di negara ini memahami persoalan yang sebenar.

Namun isu ini ternyata menjadi hangat kembali apabila Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin, menulis dalam Mingguan Malaysia pada 27 April 2008 bahawa Umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Qur'an pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah. Mufti juga menegaskan bahawa yang menjadi permasalahan adalah bukan nama Tuhan tetapi kesyirikan penganutnya. Saya terpanggil untuk memberi tanggapan kerana hal ini akan mengundang kekeliruan jika tidak diperjelaskan dengan tuntas. 

Yang paling penting kita perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimat Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimat Allah yang telah diIslamkan setelah menjadi istilah atau nama khas. Jika kita perhatikan kalimat tawhid: la ilaha illa Allah. Ia tidak bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan, tetapi tiada tuhan melainkan Allah. Kerana jika ia bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan maka tidak ada maknanya seseorang mengucapkan kalimat tawhid itu. Oleh kerana itu sarjana-sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan Allah dengan God dalam bahasa Inggeris. 

Pengislaman nama Allah ini juga jelas apabila kita lihat surah al-Ikhlas, antara surah terpenting dalam al-Qur'an, yang menjelaskan siapakah Allah dan apakah sifat-sifatnya: "Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia"."(al-Ikhlas: 1-4). Berdasarkan Surah dia atas, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa yang bernama Allah adalah yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Dalam erti kata lain kita tidak mengakui bahawa yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut juga  adalah Allah.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Asri memang masyarakat Jahiliyyah menggunakan nama Allah, tetapi nama Allah di situ digunakan dari sudut bahasa sahaja dan sebelum perkataan itu diIslamisasikan. Ia kemudian menjadi nama khusus yang merujuk kepada sifat-sifat di atas. Kata-kata solat, contohnya, dari segi bahasa adalah doa dan telah digunakan oleh orang Arab sejak pra-Islam lagi, ia kemudian menjadi istilah yang merujuk khusus kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan orang Katolik juga melakukan solat hanya kerana mereka berdoa di gereja.

Umat Islam perlu melihat apa yang berlaku di sebalik persoalan nama Allah ini. Jika kita lihat dengan teliti isu ini dengan isu-isu yang sebelumnya kita akan dapat melihat hubungannya. Contohnya isu pluralisme agama yang giat dipromosikan oleh orang bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri iaitu Islam Liberal. Para pendukung pluralisme agama ini berusaha untuk mendangkalkan makna-makna atau kata kunci dalam agama. Mereka mengatakan bahawa Tuhan dalam agama manapun  pada peringkat tertinggi (transcendental) adalah sama. Bagi umat Islam, konsep Tuhan kita jauh berbeza dengan konsep Tuhan dalam agama mana pun.

Pendukung pluralisme agama juga menekankan wujudnya persamaan antara agama-agama dan perbezaan perlu diketepikan untuk kebaikan bersama. Padahal bagi kita perbezaan fundamental antara Islam dengan agama lain walaupun sedikit adalah sangat penting dan tidak boleh dipinggirkan. Sebahagian orang bukan Islam bahkan mengaku telah Islam tanpa perlu masuk Islam.  Kerana mereka merasa telah 'berserah diri'  kepada Tuhan. Di sini mereka merujuk perkataan Islam dari sudut bahasa ialah berserah diri. Jika Allah hanya bermakna Tuhan maka kini mereka akan mendakwa bahawa mereka juga telah beriman kepada Allah. Padahal mereka hanya percaya pada Tuhan.

Contohnya lagi kita tidak boleh menggunakan kata 'liberal' untuk makna terbuka kerana ia memberi konotasi yang dalam. Kita pun tidak akan mengatakan bahawa mereka telah memonopoli perkataan liberal. Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah sarjana Islam yang paling tegas dalam hal pemberian nama atau istilah ini. Bagi beliau banyak kekeliruan berpunca daripada penamaan.  Contohnya pelajaran berbeza dengan pendidikan dan ta'dib. Istilah moden dan klasik dalam pembahagian sejarah bagi beliau tidak relevan dengan sejarah Islam dan lain-lain lagi.

Sebenarnya tidak ada nas sorih dan qat'i dalam persoalan ini. Nas dan dalil yang dikemukakan oleh Dr. Asri hanya menunjukkan bahawa masyarakat Jahiliyyah telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka. Kita perlu melihat ayat-ayat dan hadis-hadis seumpamanya dalam konteks penggunaannya dari sudut bahasa. Dari sudut bahasa Allah bermakna Tuhan.

Ayat-ayat tersebut turun ketika Islam mula diperkenalkan sebagai proses berdialog dengan kaum musyrikin. Setelah konsep-konsep penting dalam Islam jelas dan worldview Islam terbentuk maka di sini proses Islamisasi berlaku baik terhadap bahasa, budaya dan pemikiran masyarakat Arab.

Oleh kerana itu dengan mendangkalkan makna Allah maka kita telah menafikan proses Islamisasi tersebut dan kembali seolah-olah Islam belum bertapak. Memang kita boleh membuat kesimpulan tidak menjadi masalah orang bukan Islam menggunakan nama Allah kerana hal tersebut "tampak" secara literalnya wujud dalam al-Qur'an. Namun, dalam berijtihad seseorang ilmuwan tidak boleh hanya bersandarkan kepada makna literal teks atau nas tetapi perlu juga melihat kepada maqasid dan falsafah yang mendasarinya sebagaimana telah ditegaskan oleh al-Shatibi.

Persoalan nama Allah tidak boleh dilihat dari sudut fiqh sahaja khususnya kerana ia menyangkut aqidah. Ia mesti melibatkan kepakaran dalam bidang falsafah Islam, dan lebih spesifik metafizik Islam dan epistemologi Islam.  Dalam perbualan peribadi dengan seorang tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau memberitahu dan menyambung hujah Prof S.M.N al-Attas bahawa al-Qur'an telah merubah dan memperbaiki kekeliruan dan kerusakan yang telah terjadi kepada hakikat-hakikat penting yang berkisar di sekitar ketuhanan, kemanusiaan dan kejadian.

Dalam hal ini yang terjadi ialah proses Islamisasi terutama tentang hakikat ketuhanan yang merupakan tiang seri agama Islam. Menurut beliau lagi sekarang ini yang kelihatan sedang berlaku ialah proses deislamisasi dengan membawa makna-makna yang asing dan berlawanan dengan aqidah dan pandangan alam Islam, samada aliran-aliran sekular atau dari agama-agama lain. Prof Wan Mohd Nor juga berkata setiap istilah dalam semua bahasa mempunyai batas-batas makna yang sah yang mencerminkan pandangan alam tertentu, dan yang membezakan sesuatu istilah itu dengan yang lain.

Persamaan yang banyak pun masih memerlukan istilah atau nama yang berbeza jika terdapat hanya satu perbezaan yang penting. Sebab itulah semua bahasa-bahasa yang tinggi mempunyai kamus. Keldai, kuda, baghal banyak persamaan tetapi terdapat perbezaan; dua manusia kembar siam juga diberi nama yang berbeza. Orang bukan Islam boleh mempekayakan kamus peristilahan Bahasa Melayu dengan menggunakan nama lain bagi Tuhan mereka. Dalam konteks Kristian, mereka boleh gunakan Tuhan, Dewata, Deus, Theos, atau God. Selama ini gereja, kuil, sami, paderi, uskup dan lain telah memperkayakan Bahasa Melayu dan tidak menimbulkan kekeliruan dan kemarahan masyarakat yang beragama lain.

Di sini jelaslah bahawa seseorang yang bercakap tentang persoalan aqidah mesti faham kaitannya dengan worldview, tasawur dan pemikiran Islam.  Dalam hal ini, aqidah tidak hanya bermakna kepercayaan dan keimanan dalam ertikata yang sempit seperti biasa difahami oleh masyarakat umum, namun ia adalah satu set keyakinan yang dapat memberi kesan kepada cara berfikir (worldview) dan cara hidup (way of life) seseorang Muslim.

Kita juga perlu berfikir mengapa kaum Katolik ingin menggunakan nama Allah? Kita tidak boleh tertipu dengan hujah persamaan nama  yang bagi sesetengah orang hanya bersifat luaran. Kita tahu pada hakikatnya nama Tuhan mereka bukan Allah. Nama Allah mungkin relevan bagi penganut Kristian di negeri-negeri Arab tetapi tidak di selain negeri Arab. Oleh itu jelas terdapat agenda yang tersembunyi yang tidak boleh luput dari perhatian umat Islam.   Isu ini juga dibangkitkan dengan memanfaatkan toleransi dan dialog antara agama yang semakin mendesak ketika ini.

indakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan. Ia adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam membiarkan penganut agama lain mendangkalkan konsep dan istilah penting dalam Islam. Perkataan Allah, solat, tawhid, rasul, bahkan istilah Islam itu sendiri membawa makna yang tersendiri setelah diislamisasikan. Kalimat-kalimat ini telah menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan aqidah umat Islam. Sesiapa pun yang ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi 'milik' umat Islam.

Sebarang tindakan meng-'import'nya boleh dianggap sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama Islam. Istilah-istilah keagamaan mesti dihormati, dari agama manapun ia datang, oleh penganut agama lain. Toleransi mungkin berlaku jika wujud penghormatan terhadap agama lain. Nama dan istilah tertentu seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dalam agama-agama tertentu tidak boleh digunakan sewenang-wenang oleh penganut agama lain. Ini bukan sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.
Oleh itu tindakan Kementerian Dalam Negeri pada 31 Disember 2007 melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam.

Ia perlu disokong dan orang-orang agama tidak sepatutnya mengeruhkan lagi keadaan. Umat Islam mesti mempertahankan nama Allah untuk tidak digunakan oleh orang bukan Islam selagi termampu. Masyarakat Islam di negeri-negeri Arab tidak mempunyai kemampuan untuk mempertahankan hal ini kerana ia berlaku secara halus dan di luar kawalan mereka. Kebelakangan ini tampaknya ketidaksepakatan orang Islam dalam hal ini telah membuka ruang kepada Herald Tribune untuk menggugat keputusan Kementerian tersebut.

Maka dapat disimpulkan bahawa jika dilihat dari sudut falsafah dan pemikiran, dan bukan hanya dari sudut fiqh, kita akan melihat bahawa nama memberikan seribu makna. Jauhnya perbezaan antara Allah dengan Tuhan ibarat langit dengan bumi. Jelaslah isu ini bukan isu perebutan nama tetapi isu yang menyangkut jantung aqidah.

Ia juga berkaitrapat dengan pendangkalan makna Allah untuk menjustifikasikan pluralisme agama. Kita tidak boleh membiarkan pendangkalan makna tersebut berlaku tanpa penolakan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab semua ilmuwan Islam untuk menentang segala usaha mendangkalkan makna dalam Islam.

Wednesday, September 15, 2010

Kes Pembunuhan Datuk Sosilawati



Salam semua,

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

sosilawati.jpg

Kes pembunuhan ni adalah kes yang paling panas sedang diperkatakan pada Aidilfitri tahun ini. Sedang orang lain bergembira menyambut kedatangan Syawal, lain pula ceritanya pada keluarga Allahyarhamah Datuk Sosilawati dan 3 orang rakan beliau yang dibunuh kejam.. semoga Allah S.W.T. merahmati roh-roh mereka bersama-sama orang yang beriman...

Sedih saya membaca berita di dalam akhbar mengenai si isteri yang tidak tahu bagaimana hendak memberitahu anak- anak mereka yang kecil bahawa ayah mereka sudah tiada..



anak+noorhisham+pegawai+bank+cimb.jpg


Risau juga saya kepada diri sendiri dan juga sahabat- sahabat di luar sana, yang sering keluar berjumpa dengan pelanggan- pelanggan yang baru, terutamanya di tempat- tempat yang baru (site visit).

Berdasarkan kes pembunuhan kejam yang telah berlaku ini, berikut adalah kesimpulan yang saya fikirkan. Di bawah ini adalah sedikit panduan yang sering saya lakukan dan sekiranya anda adalah seorang ahli perniagaan, atau sering keluar berjumpa pelanggan, cubalah lakukan seperti yang di bawah:-

1.    Tolonglah beritahu ahli keluarga, isteri atau suami atau anak- anak, atau sahabat karib anda ke mana anda pergi, lebih- lebih lagi ke tempat yang asing bagi anda. Perkara- perkara berikut amat penting untuk diberitahu:-

a.   jika anda menaiki kereta orang lain, beritahu no. kereta yang anda naiki;

b.  maklumat hotel yang anda duduk (nama hotel, nombor bilik, alamat hotel yang lengkap);

c.  sila maklumkan dengan siapa anda akan bertemu (minta nama dan alamat serta nombor telefon orang yang akan anda jumpa dan berikan kepada ahli keluarga anda);

d.   sila maklumkan nama orang yang menemani anda, tujuan apa anda berjumpa;

e.   di setiap perubahan tempat, sila maklumkan kepada pasangan anda, cukup sekadar sms;

f.  elakkan berjumpa di kawasan yang terpencil.

2.   Perkara yang harus dielakkan apabila berjumpa orang yang baru kita kenal:

a.   Jangan bercerita tentang semua perniagaan anda, oleh kerana mungkin anda ingin menunjuk hebat, maka terkeluar cerita tentang projek anda di sana-sini, ini akan membuka lebih banyak ancaman kepada anda sendiri;

b.  Di dalam dunia perniagaan, adalah tidak digalakkan untuk anda menunjukkan tempat kediaman anda kepada orang- orang yang berurusan dengan anda;

c.  Jangan menunjuk-nunjuk dan sombong tentang kehebatan anda.


3.   Perkara yang harus anda lakukan:-

a.   Jadilah seorang ahli perniagaan yang professional yang tidak mencampurkan urusan perniagaan dengan urusan peribadi;

b.  Haruslah menjaga kata- kata yang keluar dari mulut anda supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Ingat, rambut sama hitam, hati lain- lain;

c.  Haruslah sentiasa bertolak ansur, merendah diri dan tidak sombong. Ingatlah bahawa Allah itu Maha Kaya lagi Maha Penyayang;

d.   Sentiasalah berdoa pada Allah agar dilindungi dari segala bahaya dan malapetaka, serta dilindungi Allah dari berjumpa dan berurusan dengan orang- orang yang fasik dan berniat jahat;

e.   Harus bersikap jujur di dalam segala hal iaitu kata- kata, perbuatan dan hal kewangan;

f.  Harus sentiasa bersyukur dan bersedekah supaya Allah menambahkan lagi rezeki kita dengan barakah;

g.   Haruslah bersikap pemaaf supaya orang lain senang memaafkan kita lebih- lebih lagi atas kesalahan yang kita tidak sedar.

h.  Jangan nyalakan api dendam dan perasaan benci dengan orang- orang di sekeliling anda.


Semoga saya dan anda semua dilindungi Allah sentiasa dari orang- orang yang zalim dan fasik.. Amin..


Kes Sosilawati: Ladang ternakan ‘mewah’, polis buka sembilan kes lama

September 14, 2010

Anggota polis mencari bahan bukti di dalam sungai berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi semalam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 14 Sept — Polis dilaporkan sedang menyiasat dan membuka semula fail sembilan kes lama — yang mirip modus operandi pembunuhan jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pengiring beliau yang disahkan mati kelmarin.
Siasatan awal polis menunjukkan kesemua mereka dibunuh dan kesan mayat dihilangkan menggunakan cara yang sama.
Akhbar The Star hari ini melaporkan, kesemua yang dilaporkan hilang setakat dikaitkan dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan berhubung kes Sosilawati.
Kebanyakan kes lama membabitkan peguam.
Kedua-dua adik-beradik berkenaan dikatakan suspek utama kes empat mangsa terbaru ini yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir meninggalkan Kuala Lumpur 30 Ogos lalu.
Kelmarin, polis berkata pihaknya sedang menyiasat empat kes lama yang dilaporkan tahun lalu termasuk membabitkan seorang warganegara India ekoran pengakuan daripada suspek yang ditahan.
Akhbar The Star memetik Ketua Polis Pulau Pinang Timbalan Pesuruhjaya Datuk Wira Ayub Yaakob melaporkan, pihaknya akan membuka kes pembunuhan melibatkan seorang peguam R Thinakaran yang mati dibunuh pada 27 Julai 2009, peguam sivil kanan Datuk S.P. Annamalai pada 6 November 2007, peguam Chew Sien Chee, 39, pada 2 Mac 2000, peguam jenayah S. Pathmanathan, 29 pada 19 Oktober 1997 dan Triptipal Singh, 60 pada 15 Oktober 1992.
Akhbar itu juga berkata polis sedang menyiasat laporan orang hilang sepanjang tempoh 36 bulan lalu tetapi kebanyakan aduan dibuat tidak cukup bukti yang kukuh.
Laporan New Straits Times pula melaporkan kesemua empat mangsa terbaru mati selepas mereka dikelar oleh pembunuh mereka.
Sosilawati dikatakan menemui peguam-peguam terbabit untuk mendapatkan semula wang pendahuluan berhubung urusan jual beli sebidang tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang telah gagal.
Sosilawati dijanjikan wang yang mencecah jutaan ringgit itu akan dipulangkan tetapi perlu menemuinya di firma mereka di Banting.
Bagaimanapun peguam adik-beradik berkenaan dikatakan terkejut apabila mendapati Sosilawati datang bersama pegawai bank dan peguam sedangkan mereka menjangkakan Sosilawati hanya akan datang bersama pemandunya.
Mereka sepatutnya mengadakan pertemuan di firma peguam tetapi disebabkan pejabat tutup mereka bertemu di ladang ternakan yang terdiri daripada kemudahan mewah dan canggih.
Kesemua empat mereka dikatakan dibunuh pada hari yang sama.
Laporan sebelum ini menyebut mereka dipukul sampai mati dan kemudian dibakar.
Sementara itu, Berita Harian menyebut, senjata berbentuk cangkuk diguna untuk membunuh Sosilawati sebelum dibakar.
Akhbar itu melaporkan perkara tersebut didedahkan oleh seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.
Akhbar yang sama juga melaporkan bahawa 'ladang maut' itu yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dipercayai dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mewah.
Pusat penternakan itu juga mempunyai chalet dan rumah kelab yang dipercayai lengkap dengan bar dan sistem hiburan canggih termasuk bilik karaoke.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.
Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.
Selain Sosilawati, pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Mengenai motif kejadian tragis itu, Bakri berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.
Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama  setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.
Malah menurut Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu.



Tuesday, September 7, 2010

Panduan Berpindah ke Rumah Baru Mengikut Islam

Hari ni dua hari sebelum Aidil Fitri, sibuk pasal nak masuk rumah baru, aku sempatlah kemas sikit- sikit barang yang dibawa ke rumah baru.. so sebelum tu aku surf Internet cara- cara berpindah ke rumah baru mengikut cara Islam.. aku jumpa di bawah ni agak berguna juga:

(Sumber:  http://infad.usim.edu.my/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=11799&newlang=mas)

Mutaffariqat


Soalan: Beberapa Pertanyaan Mengenai Pindah Rumah

i. Apakah hukumannya menamakan rumah seperti Villa, Seri Hidayat, Bayati Janati dan lainnya dalam pandangan Islam?

ii. Menyenaraikan nama-nama rumah yang baik dalam pandangan Islam

iii. Bilakah masa yang terbaik untuk pindah ke rumah baru, maksudnya untuk mendiami / ‘meniduri’ rumah tersebut?

iv. Bagaimana membangun rumah baru yang terbaik, seperti mendirikan tiang ‘seri’ dengan menanam rmaas, garam dan lainnya?

v. Apakah doa dan bacaan yang perlu dibaca apabila baru pertama kali mendiami / ‘meniduri’ rumah tersebut?

vi. Ada setengah orang pindah rumah dengan membawa parang, air dan lainnya, maksudnya dari rumah lama ke rumah baru


Jawapan:

الحمد لله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب , والصلاة والسلام على رسوله خاتم الانبياء والرسل, وآله وصحبه أجمعين, وبعد

i. Tidaklah mengapa seseorang Islam untuk menamakan rumahnya dengan nama yang baik atau apa jua tanggapan yang baik pula. Mudah-mudahan dengan nama yang baik itu ia menjadi sebagai doa kepada penghuni rumah atau dengan nama tersebut ssekurang-kurangnya menunjukkan rumah itu rumah kepunyaan orang islam.

Nama-nama yang dissebut sebagai contoh oleh penanya sendiri sseperti Seri hidayat, Bayati Janati sebenarnya (Biati Janati) tidaklah mengapa, kecuali Villa boleh saja menunjukkan rumah itu kepunyaan orang Islam dan bukan Islam.

ii. Setakat ini kita tidak ada senarai nama-nama untuk rumah.

iii. Sepanjang pembacaan kita, tidak ada nash daripada al-Quran dan sunnah mahupun kata-kata ulama yang menentukan masa terbaik untuk pindah ke rumah baru. Walau bagaimanapun Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu menganjurkan membuat amalan-amalan pada masa-masa tertentu, umpamanya Baginda suka membuat pekerjaan pada waktu pagi, seperti pergi ke masjid pada waktu pagi. Sementara hari-hari pula, Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan puasa pada hari Isnin dan Khamis. Ini menunjukkan hari-hari terssebut ada kelebihan berbandung hari-hari yang lain.

Amalan juga akan berganda-ganda pahalanya apabila dilakukan pada hari jumaat sseperti amalan bersedekah dan amalan-amalan kebajikkan yang lain.

Oleh kerana itu saya cenderung supaya ari untuk berpindah ke rumah baru itu dilakukan pada hari-hari yang Nabi suka membuat amalan atau menganjurkan amalan pada hari itu.

iv. Amalan khusus mengenai membangun rumah baru belum saya dapati dalam Islam, lebih-lebih lagi mendirikan tiang ‘seri’.

Walau bagaimanapun ketika memulakan pekerjaan seperti membangun rumah jangan lupa mebaca basmalah (بسم الله الرحمن الرحيم ) keeran membaca basmalah itu mendatangkan berkat sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu.


كل كلام أو أمر ذي بال لا يفتح بذكر الله عز وجل فهو أبتر

(رواه أحمد)

Maksudnya: “ Setiap percakapan atau urusan yang mempunyai kepentingan tidak dimulakan dengan menyebut (nama) Allah ‘Azza wa jalla maka ia (percakapan atau urusan teersebut) akan terputus (daripada mendapat berkat).”
(Hadis riwayat Ahmad)

Mengiringi dengan doa juga seperti yang diucapakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda membangun masjid Quba’, Baginda berdoa:

لا عيش إلا عيش الآخرة, الهم ارحم المهاجرين والأنصار

Maksudnya: “Tiada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar.”

Oleh itu, tidak mengapa bahkan adalah bagus ketika membangun rumah berdoa memohon perlindungan dan keberkatan dengan apa jua doa-doa yang baik untuk rumah dan rumahnya.

Adapun mendirikan tiang dengan menanam emas, garam dan lain-lain tidak ada suruhan di dalam syara’.

v. Ini pun tidak ada disebutkan dalam syara’ iaitu khusus ketika mendiami rumah, yang ada hanya ketika memasukki rumah. Abu Malik al-Asy’ari Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda:

إذا ولج الرجل بيته فليقل اللهم إني أسألك خير المولج وخير المخرج بسم الله ولجنا وبسمالله خرجنا وعلى الله ربنا توكلنا ثم ليسلم على أهله

(رواه أبو داود)

Maksudnya: “Apabila seorang lelaki hendak masuk ke rumahnya maka hendaklah dia

Berkata: “Ya Allah! Aku memohon kepadaMu ssebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik

Tempat kuar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami kuar dan kepada

Allah Tuhan kami, kami berserah”. Kemudian hendaklah sesseorang itu membeeri salam ke

Atas keluarganaya.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Jika rumah yang hendak dimasuki itu tidak ada orang yang berada di dalamnya, maka berilah

Salam ke ataas diri sendiri dengan mengucapkan:

السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Ertinya: “Salam sejahtera ke atas kami dank e atas hamba-hamba Allah yang sahih.”

Adapun salah ssatu hikmat membaca atau menyebut nama Allah ketika hendak masuk rumah

Itu adalah supaya mengindarkan syaitan turut masuk dan bermalam di dalam rumah. Jabir ibn

Abdullah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu

‘alaihi wasallam bersabda:

إذا دخل الرجل بيتة فذكر الله عند دخوله وعند طعامه , قال الشيطان لا مبيت لكم ولا عشاءو وإذا دخل فلم يذكر الله عند دخوله قال الشيطان أدركتم االمبيت وإذا لم يذكر الله عند طعامه قال أدركتم المبيت والعشاء

(رواه مسلم)

Maksudnya: “Jika seorng lelaki masuk ke dalam rumahnya lalu dia menyebut (nama)Allah

Ketika hendak masuk danketika hendak makan, (maka) syaitan akan berkata (kepada suku

Sakatnya):” Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu”. (Mnakala ) jika dia

Masuk (ke rumahnya) tanpa menyebut (nama) Allah ketika hendak masuk,(maka) syaitan

(Akan berkata kepada sukku sakatnya): “Kamu telah mendapat tempat untuk bermalam.

(Begitu juga jika dia tidak menyebut (nama) Allah ketika hendak makan, (maka syaitan) akan

Berkata (kepada suku sakatnya): “Kamu telah mendapat tempat unntuk bermalam dan makan

Malam

Kalifah Umar ibn Abdul Aziz Rahimahullah apabila hendak memasuki rumahnya, beliau akan

Membaca:

بسم الله ولا قوة إلا بالله والسلام على نبي الله اللهم افتح لي أبواب رحمتك , وأدخلي مدخل صدق , وأخرجني مخرج صدق, واجعل لي من لذنك سلطانا نصيرا , وهب لي من لدنك رحمة, إنك أنت الوهاب, اللهم احفظني من فوقي أن أختطف , ومن تحتي ان يخسف بي, وعن يميني وعن شمالي من الشيطان الرجيم

(رواه ابن شيبة)

Maksudnya: “Dengan Nama Allah ; tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah;

Salam ke atas Nabi Allah. Ya Allah! Bukakanlah kepadaku pintu-pintu rahmatMu dan

Masukkanlah aku (ke dalam) kemasukanyang benar dan keluarkanlah aku(ke tempat)

Keluaran yang benar dan jadikanlah bagiku sebagai kurnia dari sisiMu kekuatan yang

Memberi kemenagan (ke atas musuh-musuhMu). Ya Allah!Peliharakanlah diriku di sebelah

Atasku daripada disambar dan di sebelah bawahku daripada ditenggelamkan dan disebelah

Kananku serta kiriku daripada syaitan yang direjam.”

(Riwayat Ibn Abu Syaibah)

vi. Amalan tersebut tidak ada sandarannya dalam syara’

Negara asal : Brunei darussalam

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan,Jabatan Perdana Menteri,Negara Brunei Daeussalam

Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned

Tarikh Diisu : 2003



Nota: FATWA MUFTI KERAJAAN 2003
!-- nuffnang -->